FAKTOR BERLAKUNYA KES
Hai kepada semua pembaca! Sebentar tadi anda semua sudah membaca tentang isu yang sedang hangat diperkata oleh semua lapisan masyarakat, kan? Jadi, sekarang jom kita ketahui pula apa faktor atau punca yang menyebabkan kes-kes seperti tadi itu berlaku.
1) Tekanan dan bebanan hidup
Seperti yang kita semua tahu, ibu bapa yang bekerjaya akan banyak menghabiskan masa mereka di tempat kerja berbanding dengan anak-anak. Mereka hanya mengharapkan kepada pengasuh anak-anak mereka untuk menjaga anak-anak sepanjang mereka bekerja. Di tempat kerja, ibu bapa menghadapi tekanan bekerja dari semua pihak dan mengakibatkan mereka sendiri susah untuk mengawal emosi. Disebabkan itu, mereka tanpa sedar telah melampiaskan emosi mereka kepada anak-anak dari pelbagai segi. Sebagai contoh, mereka memukul, meninggikan suara, mencucuh puntung rokok dan sebagainya. Kebiasaannya, kelakuan ini dilakukan oleh ibu bapa yang tidak matang dan tidak bersedia untuk mempunyai seorang anak. Mereka menganggap anak itu adalah satu bebanan untuk mereka sedangkan anak itulah yang akan selalu menjadi penyejuk mata dan hati.
Baik, sekarang anda faham dengan faktor yang pertama? Mari kita teruskan dengan faktor yang kedua.
2) Masalah kewangan
Dalam hidup, selain bernafas dan bersyukur kepada Allah SWT, kewangan adalah perkara yang paling penting. Kita makan, perlukan duit untuk beli bahan makanan. Kita nak pakai baju dan seluar, perlukan duit untuk beli pakaian. Kita nak barang yang berjenama, perlukan duit. Pendek kata, semuanya bukanlah percuma melainkan adanya promosi beli dua, percuma satu. Sama juga seperti kita membesarkan anak. Semuanya memerlukan duit bagi memastikan anak-anak mendapat tumbesaran yang cukup. Bermula daripada susu formula yang mereka gunakan hinggalah lampin yang selesa untuk mereka pakai, semuanya memerlukan duit, duit dan duit. Sebab itu, kalau kita tengok ibu bapa kita sendiri, mereka akan melakukan yang terbaik untuk mendapatkan wang dan bagi kepada kita dan adik-beradik secara adil. Betul tak? Namun, ibu bapa yang tidak bertanggungjawab akan membuat tidak tahu akan tanggungjawab mereka yang satu ini. Sudahlah tidak bekerja, bila anak minta duit atau perlukan sesuatu, dipukulnya anak yang kecil dan tidak tahu apa-apa itu. Sekiranya mereka mengalami masalah itu, mereka sepatutnya mencari apa sahaja bantuan daripada kerajaan atau badan bukan kerajaan (NGO) untuk meringankan beban mereka tentang kewangan.
Dua je? Sabar. Ada lagi ni faktor yang kami nak beritahu.
3) Sejarah hitam dalam hidup ibu bapa
Perkara ini merupakan satu dendam yang tersemat di lubuk hati ibu bapa. Mereka menjadikan anak-anak sebagai satu objek untuk melepaskan dendam itu. Mereka mahu anak-anak mereka merasai penderitaan dan kesakitan yang mereka telah hadapi semasa zaman kanak-kanak. Apabila kejadian ini berterusan berlaku dari mereka kecil hinggalah mereka meningkat remaja, tidak mustahil anak-anak akan mengalami trauma dan turut menyimpan dendam untuk masa akan datang. Dengan bahasa mudahnya, sejarah hitam ini akan sentiasa berlaku sekiranya tiada sesiapa yang menyedarkan mereka tentang hal ini.
Kita akan teruskan perbincangan ini dari pihak wanita pula. Antara faktornya adalah ;
4) Berada di bawah pengaruh alkohol
Keganasan terhadap kaum wanita berlaku apabila sang lelaki berada di bawah pengaruh alkohol. Kita semua maklum bahawa alkohol adalah minuman yang terlarang di sisi agama Islam. Seseorang yang mengambilnya akan hilang kewarasannya dan menyebabkan banyak perkara negatif berlaku. Salah satunya, keganasan terhadap kaum wanita. Memukul, sepak terajang dan gangguan seksual boleh sahaja berlaku apabila lelaki berada di bawah pengaruh alkohol. Perkara ini akan menjadi lebih teruk lagi apabila mangsa tersebut melawan dan mengakibatkan si pelaku hilang kawalan sehingga kadangkala berlakunya kes pembunuhan. Oleh itu, jangan sesekali para pembaca yang dihormati mengambil dan meminum minuman keras untuk kesejahteraan hidup sendiri.
Jom, kita teruskan dengan punca yang lain.
5) Penyebaran perkara yang tidak senonoh di internet dan media sosial
Punca yang satu ini merupakan satu punca yang sangat serius dan kritikal dari semua lapisan masyarakat. Kita hidup di era yang semua benda boleh didapati dengan hujung jari sahaja. Tidak mustahil, perkara yang negatif juga boleh didapati di platform yang sama. Antara perkara negatif yang sering menjadi carian oleh manusia yang tidak bermoral adalah bahan bacaan dan video yang berunsurkan pornografi. Perkara ini menyebabkan mereka yang sudah terjebak ingin meniru aksi-aksi yang ditayangkan dengan menjadikan wanita sebagai objek keganasan mereka. Kita sering dengar dan baca di mana wanita yang bertutup litup pun menjadi mangsa terhadap mereka yang berfikiran kotor ini. Padahal, lelaki sendiri yang tidak mahu dan takkan mahu untuk menundukkan pandangan dan berfikiran jernih terhadap wanita. Jadi, jangan salahkan wanita dengan mengatakan isu-isu seperti ini, wanita lah yang menjadi puncanya kerana tidak pandai menjaga diri sendiri.
Jadi, anda semua dah tahu punca isu ini berlaku. Mesti terfikir kan, apa cara untuk mengatasi isu ini? Teruskan membaca untuk ketahuinya lebih lanjut!
Rujukan
1) https://mazlan66.wordpress.com/2008/03/25/punca-punca-berlakunya-penderaan-kanak-kanak/
Comments
Post a Comment